Nikmati Aktiviti yang Santai dan Menenangkan dengan
Pemandangan Laut bersama Insan Tersayang!
Negeri Selangor kini telah memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara. Sudah pasti ramai dalam kalangan kita yang sedang mencari destinasi percutian untuk dikunjungi bersama rakan-rakan atau ahli keluarga, khususnya bagi melepaskan rindu terhadap keindahan pemandangan matahari terbenam. Individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 dibenarkan menjalankan aktiviti pelancongan di Negeri Selangor dalam Fasa ini. Kunjungi pantai-pantai yang tersenarai di bawah untuk anda merancang percutian hujung minggu nanti!
1) Pantai Remis, Kuala Selangor
Pantai Remis terletak 20km di bahagian selatan Daerah Kuala Selangor iaitu, iaitu di mukim Jeram. Baru-baru ini, ianya dikatakan ‘kembali bernyawa’ ekoran pengumuman kemasukan Negeri Selangor dalam Fasa 3. Pantai Remis merupakan salah satu lokasi eko-pelancongan yang semakin digemari oleh orang ramai. Pantai Remis sentiasa dibanjiri dengan pengunjung yang ingin menjamu keenakan makanan laut segar seperti ikan bakar, kerang rebus dan kerang bakar sambil bersantai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.
2) Pantai Kelanang, Banting
Jom terokai apa yang istimewa di Pantai Kelanang, terletak tidak jauh daripada Pantai Morib! Pantai Kelanang menyajikan kepada anda pemandangan indah laut Selat Melaka yang dikelilingi oleh pohon-pohon kayu bakau dan pokok ru. Pantai ini juga memberikan kepada anda pemandangan matahari terbenam yang indah diiringi deruan angin yang nyaman sesuai untuk menerbangkan layang-layang tinggi di udara. Sekiranya anda membawa anak kecil, usah risau kerana fasiliti seperti taman permainan disediakan di sini untuk keseronokan anak anda!
3) Pantai Cunang, Kuala Langat
Mungkin tidak ramai yang menyedari kewujudan Pantai Cunang, tempat yang agak tersembunyi namun amat menakjubkan ini terletak di Tanjung Sepat. Pantai Cunang adalah pantai dengan pasir yang memutih sepanjang kawasan hutan bakau. Pantai Cunang adalah kawasan rehat tradisional yang diusahakan oleh masyarakat peribumi Mah Meri. Pantai Cunang kini telah berubah menjadi salah satu destinasi pelancongan Negeri Selangor, dimana ianya dihiasi dengan rumah-rumah tradisional, hiasan berwarna-warni dan juga kedai kraftangan. Selain itu, anda juga boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti memancing dan berbasikal di pantai ini.
4) Pantai Bagan Lalang, Sepang
Terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Pantai Bagan Lalang yang terletak di Daerah Sepang seperti yang diketahui ramai, adalah tempat percutian pandai kegemaran seisi keluarga. Jangan lepaskan peluang untuk memanfaatkan waktu air surut pada siang hari di mana anda boleh berjalan ke tengah laut sehingga 400 meter jauhnya. Waktu ini adalah waktu yang sesuai untuk anak kecil anda melihat anak-anak ketam berkeliaran di atas pasir. Pantai ini juga sangat popular dengan aktiviti bola tampar, bola sepak pantai dan barbeku. Ia tentunya pantai yang harus dilawati kepada yang gemar menikmati ketenangan air laut!
5) Pantai Redang, Sekinchan
Sekiranya anda berada di Daerah Sabak Bernam serta inginkan kelainan dari pemandangan sawah padi yang terkenal di sini, apa kata rasai sendiri pengalaman melihat kehidupan masyarakat nelayan di kawasan ini pula? Apa yang lebih menyeronokkan, Pantai Redang sangat dekat dengan beberapa restoran makanan laut, di mana anda boleh menikmati pelbagai jenis makanan laut yang pastinya segar! Kemudahan rekreasi juga tersedia kepada para pengunjung seperti bangku dan gazebo untuk anda berehat.
6) Pantai Morib, Banting
Tahukah anda Pantai Morib memiliki garis pantai sepanjang kira-kira 3 kilometer? Pantai Morib ini terletak di Daerah Kuala Langat dengan pemanduan tidak lebih daripada 1 jam dari Daerah Klang. Pantai ini amat popular dengan aktiviti pantai seperti bola sepak pantai, bola tampar dan layang-layang. Selain itu, anda juga boleh mengutip cengkerang atau anak ketam yang berkeliaran sementara menunggu air pantai surut. Ianya sememangnya sebuah lokasi yang amat sesuai dikunjungi bersama insan tersayang!
Siapa kata Negeri Selangor tidak mempunyai pantai-pantai yang menakjubkan? Luangkan masa hujung minggu anda dengan mengunjungi pantai-pantai yang telah disenaraikan di atas. Bukan sahaja anda boleh menikmati pemandangan laut yang luas, malah anda juga boleh menggunakan kemudahan yang tersedia di pantai tersebut. Jadi sekiranya anda tidak tahu ke mana destinasi pelancongan anda selepas ini, kunjungi pantai-pantai yang terdapat di Negeri Selangor pada cuti hujung minggu anda!
Namun, adalah diingatkan kepada kita semua untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dalam memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap, terutamanya ketika memasuki premis-premis di Negeri Selangor.
Anda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor, atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas-kini. #PusingSelangorDulu.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.