Denggi – Lindungi Keluarga Anda! 10 perkara yang patut diketahui, dan tips elakkan gigitan nyamuk aedes!

Keadaan cuaca yang panas dan lembab, longkang tersumbat, bekas yang bertakung dengan air – ini adalah antara faktor-faktor pembiakan nyamuk aedes dan punca tersebarnya demam denggi. Jadi, lindungi keluarga anda daripada gigitan serangga berbahaya ini!

Elak daripada gigitan, lakukan apa yang patut
Memandangkan kita tinggal di kawasan tropika dan keadaan cuaca yang cukup sesuai untuk pembiakan nyamuk aedes, jadi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan informasi secukupnya untuk memastikan masyarakat mengambil berat akan wabak ini.

Penting untuk setiap orang tahu akan bahayanya wabak denggi dan langkah serta prosedur yang perlu bagi mengelakkan pembiakan nyamuk aedes. Sebagai peringatan, berikut kami kongsikan langkah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa khususnya terhadap kebersihan di sekeliling kawasan perumahan anda. Mana tahu, anda terlepas pandang untuk memeriksa kawasan-kawasan sekitar.

1. Simpan bekas dan tin kosong
Jangan biarkan bekas atau tin kosong berada pada tempat yang terbuka sehingga boleh menakung air. Ingatlah bahawa bekas-bekas kosong ini boleh menjadi kawasan takungan air sekali gus menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.

2. Kerap tukar air dalam pasu bunga
Jika anda ada meletakkan pasu bunga yang berisi air, pastikan anda kerap menukar airnya dan membasuh serta membersihkan pasu tersebut. Air yang bertakung akan menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.

3. Tutup bekas air
Jika kawasan rumah ada ada bekas simpanan air seperti kolah, tempayan atau besen, tutup bekas tersebut dengan rapat untuk mencegah nyamuk menjadikan sarang telur mereka.

4. Tukar air kolah
Tukar air dalam tempayan atau kolah mandi setiap minggu serta cuci dan basuh sehingga bersih tempat tersebut sebelum menadah air yang baru.

5. Bersihkan alas piring
Bersihkan alas piring pasu yang berisi air dan cuci hingga bersih untuk memusnahkan pembiakan telur jentik-jentik.

6. Periksa longkang yang tersumbat
Bersihkan longkang-longkang yang tersumbat sekurang-kurangnya sekali seminggu. Daun-daun kering boleh juga menghalang laluan longkang sehingga menyebabkannya tersumbat, sekali gus menyebabkan air bertakung pada longkang tersebut.

7. Gunakan penyembur serangga
Hapuskan nyamuk aedes dewasa dengan cara menyembur racun serangga di kawasan sekeliling rumah anda.

8. Ubat pembunuh jentik-jentik
Masukkan ubat pembunuh jentik-jentik pada bekas simpanan air anda ataupun tangki air.

9. Tanam semula
Tanam semula benda atau bekas yang boleh menakung air hujan seperti botol dan tin kosong.

10. Salurkan air hujan
Periksa saluran bumbung yang bertindak menakung air hujan dan bersihkannya supaya air tidak dapat bertakung di atas bumbung.


Tips elak daripada gigitan

  • Tidak kiralah berapa banyak langkah pencegahan yang anda ambil untuk menghalang pembiakan nyamuk aedes, namun potensi untuk anda sekeluarga digigit nyamuk masih ada. Serangga berbahaya ini mungkin akan ‘menyelinap’ masuk ke rumah anda tanpa anda sedar.
  • Oleh itu, bagi mengelakkan gigitan nyamuk, berikut kami sediakan beberapa cadangan untuk anda ikuti:
  • Pakai pakaian bertutup. Sarungkan baju berlengan panjang dan seluar panjang dengan stoking jika anda keluar rumah dan melakukan aktiviti luar rumah. Ini untuk mengelakkan anda dan keluarga daripada digigit nyamuk.
  • Pasang jaring. Letakkan jaring nyamuk pada setiap pintu dan tingkap rumah anda supaya dapat membantu mengelakkan nyamuk daripada memasuki rumah.
  • Jangan keluar rumah pada waktu-waktu tertentu. Elakkan daripada berada di luar pada awal pagi dan senja kerana nyamuk aedes keluar mencari makan pada waktu tersebut. Jika anda terpaksa keluar pada waktu tersebut, pakailah pakaian bertutup dan sapukan krim atau ubat pencegah nyamuk.
  • Gunakan ubat nyamuk atau pencegah nyamuk elektrik. Dengan cara ini dapat melindungi rumah anda daripada nyamuk dan mengurangkan risiko nyamuk masuk ke dalam rumah anda.
  • Gunakan semburan pencegah nyamuk pada kulit yang terdedah. Ini juga salah satu cara yang efektif untuk melindungi diri daripada digigit nyamuk. Cari jenama pencegah nyamuk yang selamat untuk diletakkan pada kulit.
About Us | Contact Us
@2020 NaturalHealth.my. All Rights Reserved.