Nak Rambut Sihat? Inilah rahsianya

Merawat rambut yang rosak adakalanya lebih sukar daripada merawat kulit badan yang luka. Ini kerana kerosakan dan masalah rambut berpunca daripada akar rambut. Akar rambut ini pula terletak di bahagian bawah dermis kulit yang sukar dilihat oleh mata kasar. Merawat rambut rosak tidak semudah menyembuhkan kulit yang terluka dengan ubat sapu. Tambahan lagi kerosakan rambut boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Contoh paling ketara adalah masalah rambut gugur, kelemumur dan rambut kering. Bagi mereka yang mengalami masalah rambut yang serius, mungkin anda terpaksa membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk mengembalikan semula rambut yang rosak.

Bagi anda yang mengalami masalah kerosakan rambut di peringkat awal, masih belum terlewat untuk anda menilai semula amalan penjagaan rambut yang dilakukan selama ini. Amalan penjagaan rambut dan gaya hidup yang tidak sihat mungkin menjadi punca sebenar kerosakan rambut.

Jadi, nak rambut cantik dan sihat? Inilah caranya!

1. Amalkan makanan yang bernutrisi tinggi!
Makanan yang dimakan setiap hari membekalkan nutrien ke seluruh anggota badan termasuk rambut. Nutrien sihat penting untuk memastikan pertumbuhan rambut tidak terbantut dan sentiasa sihat. Kekurangan nutrien tertentu akan menyebabkan pelbagai masalah rambut terutama kelemumur dan keguguran rambut yang berterusan.

Makanan dengan kandungan bahan pengawet dan kimia yang terlalu tinggi akan memberi kesan kepada kesihatan rambut. Nutrisi yang baik untuk kesihatan rambut terdiri daripada protein dan karbohidrat kompleks. Anda disarankan untuk makan makanan yang mengandungi nutrien utama ini. Antaranya melebihkan makanan bersumber dari sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang, daging merah, ikan serta makanan berunsur gandum seperti oat dan barli.

2. Gunakan peralatan penjagaan rambut yang betul
Tidak salah untuk anda menggunakan peralatan penjagaan rambut. Akan tetapi ramai yang menggunakanannya secara salah. Rambut yang seharusnya sihat dibantu dengan peralatan penjagaan rambut sebaliknya menjadi rosak dan bermasalah disedari!

Tahukah anda bahawa suhu yang terlalu tinggi boleh merosakkan rambut? Sebagai contoh adalah penggunaan alat pengering rambut. Rambut anda tidak boleh terdedah kepada suhu melebihi 180 darjah celcius. Kebanyakan alat pengering rambut ditetapkan pada suhu tidak melebihi 100 darjah celcius. Namun tahukah anda bahawa suhu sepanas ini juga berupaya merosakkan rambut jika tidak digunakan dengan betul?

Kaedah penggunaan pengering rambut yang disarankan :

  • Elakkan menghala pengering rapat mengenai kulit kepala
  • Keringkan secara rata ke seluruh bahagian rambut. Elak daripada fokus di bahagian tertentu sahaja
  • Jangan menghala pengering terlalu lama ke bahagian tertentu rambut dan kepala.
  • Begitu juga dengan peralatan seterika rambut. Anda harus tahu kaedah penggunaan yang betul supaya rambut tidak menjadi mangsa kepada peralatan tersebut.
  • Pemilihan sikat juga perlu disesuaikan mengikut jenis dan keadaan rambut.

3. Menggunakan Produk Rambut Mengandungi Bahan Kimia
Sebagai pengguna, anda seharusnya lebih prihatin dalam pemilihan produk rambut. Adakalanya tidak cukup dengan membaca label “Bebas Paraben”, “Bebas Bahan Kimia”, “Bebas Bahan Sulfat” dan sebagainya. Ada yang lebih penting daripada membaca keterangan ringkas ini iaitu membaca label kandungan yang terdapat dalam sesuatu produk penjagaan rambut.

Anda harus mengelakkan produk yang mengandungi bahan alkohol seperti Cetyl, oleyl, dan stearyl. Ia dimasukkan dalam suatu produk rambut untuk tujuan melebatkan dan menghitamkan rambut. Namun kandungan yang terlalu tinggi merbahaya kepada kesihatan rambut.

Selain itu, anda juga harus berhati-hati dengan bahan seperti sulfat, silikon, hidrogen peroksida, amonia, Propylene glycol, Diethyl phthalate, paraben, petrolatum, campuran bahan pewangi dan pelbagai lagi bahan kimia dalam produk penjagaan rambut. Sebaiknya, pilihlah produk yang dihasilkan secara semulajadi daripada bahan herba dan tumbuh-tumbuhan.

4. Elak daripada air berklorin tinggi
Anda harus berhati-hati dengan kandungan klorin dalam air. Sama ada air paip di rumah dan juga ketika berenang di kolam renang. Air kolam mandi adalah antara kawasan mandi awam yang didapati mengandungi bahan klorin yang tinggi di mana ia memudaratkan apabila terkena pada rambut dan kulit kepala.

Pendedahan secara berterusan dengan air yang mengandungi klorin yang tinggi akan menyebabkan rambut mengalami masalah kekeringan. Ini akhirnya akan merosakkan struktur rambut dan mungkin menyebabkan masalah rambut terbelah.

5. Janganlah siksa rambut anda dengan kaedah ‘back-combing”
Ia adalah teknik atau cara menyikat rambut yang digunakan untuk membuat rambut kelihatan lebat. Teknik ini digunakan juga untuk mencipta gaya rambut tertentu. Teknik ini jika dilakukan terlalu kerap akan menyebabkan kerosakan pada hujung rambut. Ia juga akan menghilangkan kekuatan folikel rambut.

Teknik menyikat rambut secara backcombing ini memberi kesan kepada keadaan kutikel rambut iaitu lapisan terluar yang melindungi struktur rambut. Lapisan kutikel luar ini bertanggung jawab seperti ‘pintu’ keluar masuk segala bahan luaran seperti kandungan kimia daripada syampu menembusi bahagian korteks rambut.

Oleh itu, lapisan ini perlu dilindungi daripada teknik backcombing secara keterlaluan yang boleh menyebabkan struktur rambut menjadi rosak.

6. Cara ikat rambut biarlah sesuai
Teknik yang digunakan untuk menghasilkan gaya rambut yang digemari ramai wanita ini juga menjadi penyebab kepada kerosakan rambut. Antara teknik yang dikenalpasti menyebabkan kerosakan rambut ialah ikatan tocang, jalin dan sanggul. Kesemua teknik ini akan menyebabkan keadaan folikel rambut menjadi rosak dan akhirnya mengganggu pertumbuhan rambut yang sihat.

Tidak salah untuk anda bergaya dengan teknik rambut yang disukai khususnya untuk majlis tertentu yang memerlukan anda tampil lebih cantik dan anggun. Apa yang perlu anda elakkan adalah menjadikan ia sebagai rutin wajib setiap hari. Untuk kebaikan rambut anda, adalah lebih baik rambut dibiarkan begitu sahaja tanpa ikatan, Kulit kepala akan terasa lebih ringan dan selesa apabila rambut dilepas bebas begitu sahaja.


Elakkan perkara-perkara berikut!

Sikat Semasa Rambut Basah
Ramai yang tidak sedar bahawa menyikat rambut ketika basah boleh menyebabkan kerosakan. Rambut basah amat mudah mengalami kerosakan. Adalah lebih baik anda menyikat rambut setiap kali sebelum mandi untuk mengelakkan ia kusut. Gunakan tuala untuk mengeringkan rambut setiap kali selepas mandi. Anda juga boleh menggantikan alat pengering rambut dengan menghalakan kipas ke arah rambut. Ia boleh mengeringkan rambut secara lebih cepat.

Syampu Terlalu Kerap
Sesetengah produk syampu dicipta untuk cucian setiap hari. Namun anda disarankan untuk mencuci rambut antara dua ke tiga kali seminggu. Ini sudah cukup untuk membersihkan dan mengelakkan rambut daripada berbau. Kebanyakan syampu mengandungi bahan kimia. Oleh itu anda tidak disarankan untuk bersyampu setiap hari.

Mandi Air Panas
Air panas boleh menghilangkan minyak semulajadi yang terdapat pada rambut dan kulit kepala anda. Kehilangan minyak ini akan menyebabkan rambut menjadi kering dan rapuh. Anda boleh mandi dengan air suam yang tidak terlalu panas. Tetapi pastikan rambut tidak terdedah kepada air suam melebihi 10 sehingga 15 minit. Lakukan mandian air suam antara dua ke tiga kali dalam seminggu sahaja. Namun mandian air sejuk adalah pilihan terbaik untuk mengekalkan kelembapan rambut.

About Us | Contact Us
@2020 NaturalHealth.my. All Rights Reserved.