Pelan Senaman Yang Memberikan Pembaharuan Pada Berat Badan

Menjelangnya ambang tahun baru, ramai di antara kita mula merancang pembaharuan dalam kehidupan mereka. Bagi sesetengah individu yang sangat menitikberatkan kesihatan, sudah pasti mereka sedang sibuk mencari cara senaman terbaik dalam mencapai tahap berat badan yang ideal. Selain itu, untuk sesetengah individu pula terutamanya kaum wanita, mereka ingin mendapatkan tubuh badan yang langsing demi kecantikan paras rupa yang menjadi idaman semua golongan wanita. Walaupun senaman hanya mampu membantu 30% sahaja proses menguruskan berat badan, tetapi ia penting bagi menjadikan tubuh badan sentiasa kekal cergas dan sihat.

Terdapat 6 pelan senaman mudah yang anda boleh jalani:

LOMPAT BINTANG
Senaman lompat bintang sangat sesuai dilakukan oleh mereka yang baru berjinak-jinak untuk mendapatkan berat badan ideal. Hal ini kerana ia mudah dilakukan di mana-mana tempat. Membakar kalori badan merupakan antara kelebihan utama bagi pelan senaman lompat bintang. Melakukan lompat bintang secara konsisten boleh membantu individu membakar lemak dengan berkesan di samping dapat meningkatkan kadar pernafasan, sekaligus mencapai berat badan yang diinginkan. Kajian menunjukkan bahawa seseorang yang melakukan senamaan lompat bintang selama 10 minit, mampu membakar sebanyak 100 kalori dalam badan bagi individu yang memiliki berat badan 160 Kg, dan jika senaman ini dilakukan secara konsisten selama seminggu mereka juga mampu untuk menurunkan berat badan tambahan setiap 11 atau 12 hari tanpa perlu mengubah diet atau cara pemakanan mereka.

SQUAT
Perbuatan lompat secara mencangkung ini membantu individu untuk mengempiskan perut dan membantu dalam meningkatkan metabolisme badan. Senaman squat juga membolehkan individu yang mengamalkannya dapat membentuk anggota tubuh badan seperti paha dan punggung yang cantik. Senaman squat perlu dilakukan dengan penuh penelitian supaya kecederaan pada tulang belakang dapat dielakkan. Caranya mudah sahaja rendahkan posisi badan dan kangkangkan kedua-dua belah kaki, seterusnya stabilkan badan sambil menghulurkan kedua-dua tangan kehadapan. Kemudian ulang langkah ini mengikut kemampuan anda. Terdapat kajjian yang menyatakan bahawa, latihan squat selama 50 kali mempunyai persamaan dengan aktiviti berjoging selama 7 minit. Oleh itu, bagi mereka yang ingin bersenam, tetapi bimbang akan cuaca dan suasana di luar, anda boleh memilih untuk melakukan senaman squat ini, dan melakukannya di rumah. Senaman ini juga mampu membakar 200 hingga 400 kalori, dalam masa 30- 40 minit.

BERBASIKAL
Aktiviti berbasikal sudah menjadi satu “trend” senaman yang biasa dilakukan oleh masyarakat di negara kita pada hari ini. Ada yang memilih untu berbasikal di jalan raya atau litar ada juga yang memilih untuk berbasikal menggunakan basikal static di rumah. Namun begitu, apakah kebaikan berbasikal sebenarnya? Antara kebaikan senaman berbasikal termasuk ia boleh membakar antara 300-450 kalori per jam, bergantung pada berat sekiranya seseorang itu mengayuh dengan kecepatan 15-20 km / jam. Anda boleh melakukannya ketika waktu lapang, namun lebih baik jika ia dilakukan pada waktu pagi kerana ia lebih berkesan. Hal ini dikatakan demikian kerana, pada waktu pagi darah yang terkandung dalam tubuh badan tidak mempunyai glikogen, oleh itu lemak akan lebih mudah untuk terbakar.

YOGA
Yoga merupakan satu aktiviti fizikal berasal dari India, yang bukan sahaja dapat mendisiplinkan mental malah ia juga memberi manfaat terhadap kecergasan badan manusia. Yoga boleh dikategorikan kepada beberapa jenis seperti Yoga Hatha, Yoga Bikram, Yoga Vinyasa, Yoga Ashtanga, Yoga Iyengar dan sebagainya yang mempunyai kelebihan dan manfaat yang tersendiri. Sebagai contoh, Yoga Bikram sesuai dilakukan bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan. Yoga Bikram dijalankan dalam bilik yang mempunyai suhu 42 darjah Celsius, dengan 26 postur lengkap. Peluh yang datang daripada haba ketika melakukan senaman ini sangat baik untuk kesihatan tubuh badan. 26 postur yang ada pada Yoga Bikram juga boleh membuatkan tubuh anda lebih kuat dan fleksibel.

BERENANG
Aktiviti senaman secara berenang sangat sesuai dilakukan oleh semua peringkat umur. Berenang juga dikatakan antara kaedah senaman terbaik untuk seluruh sistem badan manusia. Selain itu, berenang juga dikatakan baik kerana anda memperoleh pelbagai manfaat kerana ia merangkumi semua kebaikan yang ada dalam senaman aerobik tanpa perlu bimbang mengenai sebarang kecederaan sendi atau otot. Seperti yang diketahui umum, berenang antara salah satu cara terbaik untuk membakar kalori yang terkandung dalam badan. Buktinya, berenang selama satu jam dengan pergerakan yang tepat akan membakar sebanyak 715 kalori dalam badan. Berenang memerlukan seseorang itu menggunakan seluruh anggota badan seperti perut, kaki dan lengan. Oleh itu, senaman ini sangat sesuai dalam membantu mereka untuk membentuk otot, meningkatkan kekuatan dan membina daya tahan badan yang akan menjadikan tubuh badan mereka lebih fit dan ringan untuk melaksanakan aktiviti harian.

LOMPAT TALI
Pelan senaman lompat tali atau lebih dikenali sebagai “tali skipping” ini antara salah satu cara senaman paling mudah dalam menurunkan berat badan. Lompat tali membantu seseorang meningkatkan koordinasi badan dan meningkatkan stamina dengan cepat.Tambahan pula senaman ini tidak memerlukan anda mengeluarkan modal yang besar dan sesuai dilakukan di rumah, namun hasilnya sangat memuaskan. Untuk pengetahuan anda, senaman lompat tali yang dilakukan selama 15 minit boleh membakar sebanyak 200 hingga 300 kalori dalam tubuh badan. Ketika melakukan senaman ini otot-otot pada tubuh badan akan menjadi lebih aktif. Di samping itu juga, senaman lompat tali dikategorikan sebagai “thermogenic” iaitu keadaan di mana badan akan menghasilkan haba yang banyak semasa bersenam. Haba yang dihasilkan berfungsi sebagai alat untuk membakar lemak dalam menghasilkan tenaga, jadi ia mampu membakar lebih banyak kalori dan lemak yang terkandung dalam badan terutamanya pada bahagian perut. Yang paling penting ia mudah dan menjimatkan masa anda.

Dalam mendapatkan bentuk atau berat badan yang diimpikan sememangnya bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia memerlukan pengorbanan dan kekuatan mental daripada seseorang. Individu perlu berdisiplin dan bertanggungjawab untuk kekal konsisten melakukan teknik-teknik yang mereka pelajari supaya impian mendapatkan berat badan ideal menjadi kenyataan. Mereka perlu patuh dengan setiap arahan dan pantang larang yang ada. Namun begitu, melakukan senaman bukanlah semata-mata hanya untuk berat badan malah ia juga sangat penting bagi kesihatan tubuh badan. Senaman yang dilakukan dengan cara yang betul dan konsisten berpotensi untuk menghindarkan seseorang itu daripada menghidap penyakit berbahaya seperti jantung, buah pinggang, diabetes dan risiko terkena strok. Penjagaan kesihatan tubuh badan seharusnya diberi perhatian sejak di awal usia supaya tidak ada perkara yang membuatkan anda sesal dikemudian hari. Sekiranya semua peraturan senaman yang ditetapkan telah pun ada jalani, fokus seterusnya haruslah diberikan kepada cara pemakanan dalam kehidupan seharian.

About Us | Contact Us
@2020 NaturalHealth.my. All Rights Reserved.