Sedasawarsa ini kehidupan masyarakat lebih banyak menuju kearah pemodenan daripada segi pakaian, makanan, kegunaan peranti dan sebagainya. Banyak masyarakat hari ini hidup berpaksikan wang ringgit, yang tanpa disedari kemewahan yang mereka ada hari ini sedikit sebanyak membunuh kehidupan mereka untuk menjadi hamba kepada kekayaan. Kemewahan dan kemajuan yang diharapkan dan seharusnya menjadi kebanggaan bukanlah wang ringgit semata-mata, namun kemajuan dan pemodenan yang sebanarnya adalah melalui bagaimana kita menjaga sistem kesihatan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Bukankah setiap individu ingin hidup sihat dari segi fizikal dan mental? Walau bagaimana pun, matlamat tersebut tidaklah mudah tercapai seperti mana yang kita bayangkan. Masih ramai masyarakat yang tidak mengambil berat tentang isu ini dengan mengabaikan segala kepentingannya. Kita seharusnya bijak mengimbangkan antara kemajuan sosial yang sepatutnya kita kecapi, dengan kemajuan dalam kesihatan yang perlu kita peroleh dan dijaga sebagai lambang kebesaran dan imej negara.
Oleh itu, disini terdapat 4 jenis trend penjagaan kesihatan yang sepatutnya masyarakat ketahui antaranya termasuklah:
1. Trend Pengambilan Insurans Untuk Diri Dan Keluarga
Masih ramai masyarakat yang tidak sedar akan kepentingan mengambil insurans untuk diri dan ahli keluarga. Mereka sanggup menghabiskan wang ringgit untuk satu perbelanjaan yang mewah, namun membelanjakan wang untuk membeli insurans perubatan dianggap sebagai satu pembaziran. Pelbagai alasan yang diberikan untuk mereka tidak membelinya. Tanpa disedari, tahun demi tahun kos perubatan di dunia telah meningkat dan boleh menyebabkan mereka tidak mampu untuk menanggung kos perubatan tersebut, jika berlakunya kejadian yang tidak diinginkan. Oleh itu, sangatlah penting untuk anda bijak dalam menguruskan kewangan dalam penjagaan dan perlindungan kesihatan demi melindungi diri dan ahli keluarga tercinta. Perkara ini penting bagi memastikan anda dan keluarga mendapat perkhidmatan yang lebih selesa, cepat dan suasana yang lebih kondusif. Selain itu, dengan adanya pengambilan perkhidmatan insurans dalam semua ahli keluarga masyarakat, ia dapat menjamin agar perlindungan dan penjagaan kesihatan dalam kalangan rakyat tidak lagi akan terabai, kerana mempunyai simpanan yang bijak, malah jangka hayat individu juga akan dijangka akan meningkat kerana tidak ada kesihatan yang merosot akibat pengabaian perlindungan dan penjagaan kesihatan.
2. Trend Rawatan Perubatan Secara Pencetakan Bio Dan Perubatan Regeneratif
Rawatan perubatan secara pencetakan bio dan regeneratif ini merupakan satu Teknik perubatan moden yang masih belum meluas di negara kita. Rawatan ini akan menggunakan teknik yang sama seperti konvensional Percetakan 3D dalam proses penghasilan organ tiruan. Setelah mencapai tempoh masa yang matang, organ yang dihasilkan akan dimasukkan ke dalam tubuh badan pesakit bagi menggantikan organ lama yang telah rosak. Pencetakan organ berjaya berpotensi mempengaruhi beberapa industri. Antaranya termasuk pemindahan organ, matlamat ini baik kerana, pesakit tidak perlu lagi menunggu dalam tempoh masa yang terlalu lama bagi mendapatkan penderma organ. Hal ini dikatakan demikian kerana, terdapat kajian yang menyatakan bahawa terdapat seramai 10,000 pesakit telah meninggal dunia sebelum menjalani pemindahan organ kerana menunggu giliran yang terlalu lama untuk mendapatkan penderma yang sepadan. Dengan adanya rawatan seperti ini pesakit akan memperoleh organ baharu sebagai pengganti organ yang telah rosak dalam tempoh masa yang lebih cepat. Contohnya, paru-paru, hati, jantung, buah pinggang dan sebagainya. Walaupun teknologi ini dilihat luar biasa dan sukar untuk dipercayai, namun ia mampu menjadi kenyataan kerana banyak kajian telah dijalankan oleh pakar perubatan dan penyelidik dari luar negara. Teknologi canggih ini juga mampu mengembangkan fungsi organ manusia semula. Jadi anda tidak perlu bimbang dengan kesan sampingan selepas pembedahan kerana ia tidak akan menyebabkan kerosakan pada tisu penerima organ dan tidak mendatangkan sebarang masalah kepada organ yang tidak boleh diterima oleh tubuh badan.
3. Penjagaan Kesihatan Mental Secara Atas Talian / E-Sokongan Psikologi
Akhir-akhir ini isu berkaitan dengan masalah kesihatan mental acapkali kita dengar dan menjadi buah mulut masyarakat. Faktor tekanan hidup, masalah di tempat kerja dan isu keganasan rumah tangga seringkali menjadi punca utama kepada permasalahan ini. Namun terdapat sesetengah masyarakat yang memandang ringan terhadap isu ini dan menjadikannya sebagai satu jenaka. Tanpa mereka sedari gurauan yang sering kali mereka lakukan ini boleh menyebabkan seseorang itu membunuh diri. Sekiranya anda sendiri yang mengalami masalah tekanan perasaan akibat desakan hidup, jangan sesekali berdiam diri atau memendam perasaan, dapatkan rawatan segera. Isu penjagaan kesihatan penting bukan sahaja berkaitan dengan fizikal, malah ia juga berkaitan juga dengan mental dan emosi seseorang. Hari ini ramai masyarakat yang mengalami masalah tekanan perasaan merasa takut untuk keluar daripada masalah yang mereka alami akibat takut dikecam oleh masyarakat. Mereka takut untuk mendapatkan rawatan sewajarnya di hospital atau di pusat rawatan yang menyediakan perkhidmatan daripada golongan professional. Ada di antara mereka yang menganggap sekiranya mereka mendapatkan rawatan tersebut, masyarakat akan menganggap mereka sebagai seorang yang tidak waras atau “gila”. Fikiran sempit seperti ini yang menyebabkan sesetengah individu takut untuk mendapatkan bantuan. Oleh tiu, dengan adanya perkhidmatan rawatan mental secara atas talian dapat membantu golongan ini untuk mendapatkan bantuan. Misalnya anda boleh menghubungi perkhidmatan kaunseling seperti KSK Care Centre, Malaysian Relief Agency, Befrienders, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Mereka akan mendapat sokongan moral yang lebih kukuh. Mereka dapat berkongsi masalah yang dihadapi dengan cara menghubungi talian perkhidmatan tanpa perlu bersua muka. Pesakit ini akan berasa lebih yakin dan selamat untuk bercerita masalah yang dihadapi. Malah stigma bahawa mereka yang mempunyai masalah mental seperti anxiety dan depression adalah golongan yang tidak mempunyai pendirian agama juga dapat diatasi.
4. Mendapatkan Rawatan Di Pusat Rawatan Berteknologi Tinggi
Sistem kesihatan dan perubatan di negara ini sewajarnya dinaiktaraf seiring dengan kemajuan dalam pelbagai sektor yang ada di dalam negara. Kemajuan dan pemodenan dalam sistem kesihatan ini penting bagi memastikan rakyat dan pesakit di negara ini mendapat perkhidmatan dan rawatan dalam suasana yang lebih kondusif seperti negara negara maju yang lain. Sebagai rakyat kita wajar memilih di dan bagaimana cara kita dirawat bagi menjamin kesejahteraan diri dan keluarga. Tindakan ini bukanlah untuk menunjukkan lambang kemewahan seseorang, sebaliknya ia penting dalam memberikan keselesaan kepada diri atau keluarga semasa mendapatkan rawatan. Sebagai contoh rawatan canggih dan berteknologi tinggi yang terdapat di Malaysia termasuk mempunyai mesin scan Angio-CT Hibrid yang terdapat di Hospital Selayang bagi menilai keberkesanan rawatan dan menyediakan baseline untuk melakukan imbasan ke atas pesakit. Disamping itu, Sunway Medical Center Velocity juga pernah memenangi Anugerah Frost & Sullivan Excellence Awards, Asia Pacific Best Practices Awards baru-baru ini secara tidak langsung memberi satu reaksi positif dalam kalangan masyarakat untuk melakukan tindakan bijak dalam memilih pusat rawatan yang dapat menawarkan perkhidmatan rawatan yang lebih kondusif.
Bagi membolehkan negara menuju ke arah negara yang membangun memerlukan rakyat memiliki jati diri yang teguh dan saling bekerjasama dalam apa jua situasi. Bukan itu sahaja, sebagai seorang rakyat yang tinggal di negara maju penelitian daripada semua aspek haruslah diberikan penekan terutama dalam aspek kesihatan. Banyak negara yang mampu menjadikan negara mereka maju disebabkan oleh sikap dan tindakan pemimpin serta rakyat yang prihatin terhadap isu perubatan dan kesihatan di negara mereka antaranya Singapura, India, Korea Selatan dan Costa Rica. Kita seharusnya menjadikan negara-negara ini sebagai satu idola yang hebat untuk dicontohi. Sikap suka menghakimi diri dan orang lain perlu dijauhi. Sebagai rakyat yang ingin memajukan negara dalam pelbagai industri terutamanya dalam bidang perubatan dan kesihatan mentaliti kita juga seharusnya bergerak sama pantas dengan kemajuan dunia. Kesihatan yang diberikan oleh Tuhan pada hari ini seharusnya kita jaga kerana ia merupakan satu anugerah yang tidak ternilai. Jadi sekiranya ada diantara kita yang menghidapi sebarang penyakit berbahaya, sudah tentu kita memerlukan rawatan canggih dan moden untuk merawatnya.