Acara tahunan yang ditunggu-tunggu, Bulan Pemakanan Malaysia (Nutrition Month Malaysia) yang terkenal dengan pelbagai aktiviti menarik yang diadakan di pusat beli-belah di sekitar Lembah Klang kembali lagi tahun ini!
Berikutan pandemik COVID-19, acara ini dilangsungkan secara digital, selari dengan arahan pihak kerajaan demi memutuskan rangkaian jangkitan. Apapun, kesemua acara yang dijalankan secara maya akan dipastikan untuk memberi kesan sambutan yang sama seperti acara fizikal tanpa melupakan elemen keterujaan, keseronokan dan pendidikan.
Diadakan bermula tahun 2009, Bulan Pemakanan Malaysia yang akan berlangsung sebagai Festival Pemakanan Maya yang pertama kali diadakan tahun ini akan terus mendidik para pelawat dan orang awam mengenai pemakanan sihat serta hidup aktif.
Sejak diperkenalkan, festival ini diadakan berpandukan tema-tema yang menyampaikan pesanan tertentu. Festival secara maya bagi tahun 2020 pula bertema, “Membudayakan Pemakanan Sihat: Makan Secara Sihat, Bergerak Aktif!”.
Memandangkan penyakit tidak berjangkit (NCD) menjadi ancaman besar kepada masyarakat kita, penganjur Bulan Pemakanan Malaysia 2020 menyasarkan untuk mendidik orang ramai dengan petua dan cara hidup sihat serta aktif untuk mengatasi masalah tersebut.
Seiring dengan tema, acara ini dilangsungkan dengan harapan dapat mengorak langkah penjagaan pemakanan positif di kalangan orang awam bagi mengelak daripada penyakit tidak berjangkit sejak usia muda.
Bulan Pemakanan Malaysia 2020 ini dianjurkan bersama-sama oleh Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Persatuan Dietitian Malaysia (MDA), dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO) dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia dan rakan-rakan korporat lain.
Pelbagai aktiviti menarik telah diatur sepanjang acara maya ini dan semua orang berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik!
Antara aktiviti yang diaturkan sepanjang sambutan Bulan Pemakanan Malaysia 2020 ialah siaran video dalam talian oleh para pakar yang diisi dengan segmen soal jawab bersama pakar diet dan pemakanan berkenaan topik semasa berkaitan pemakanan.
Aktiviti pembelajaran secara santai dan menyeronokkan oleh pakar dan pihak penganjur turut disediakan di mana para pelawat boleh melayari gerai maya untuk menyertai kuiz dan peraduan interaktif.
Jangan lupa menuntut beg goodies daripada penganjur dan segera mendaftar kerana 5,000 peserta pertama yang mendaftar layak menuntut beg goodies yang disediakan khas oleh pihak penganjur.
Selain itu, jangan ketinggalan menyertai acara memasak dan senaman serta pertandingan Nutri-Info-Hunt yang menjanjikan hadiah berupa hamper kepada dua pemenang setiap hari dan bermacam-macam lagi aktiviti menyeronokkan.
Ekoran pandemik COVID-19, penganjur juga akan berkongsi pelbagai maklumat dari segi pemakanan dan gaya hidup sihat sepanjang fasa ini. Informasi yang ditawarkan akan memberi peluang untuk anda mempelajari banyak ilmu dan mendidik ahli keluarga untuk menjalani gaya hidup cergas, cerdas dan sihat.
Para penganjur juga komited, bukan sahaja untuk menyediakan hadiah menarik, tetapi juga berhubungan dengan anda secara maya menerusi pelbagai platform yang disediakan temasuk media sosial.
Oleh itu, apa tunggu lagi? Anda boleh menimba pelbagai ilmu dan maklumat berfaedah di samping menyertai pertandingan dan membawa pulang hadiah menarik sepanjang acara Festival Pemakanan Maya 2020 ini.
Festival maya akan berlangsung bermula 1-14 Disember 2020 di https://virtualfair.nutritionmonthmalaysia.org.my/. Mereka yang mendaftar awal juga layak untuk mendapat e-baucer daripada penganjur!
Untuk maklumat lanjut berkenaan Festival Pemakanan Maya Bulan Pemakanan Malaysia, klik pautan ini, https://virtualfair.nutritionmonthmalaysia.org.my/.