Bayi yang kurang menyusu seperti biasa atau warga emas yang tiba-tiba tercungap-cungap semasa berjalan mungkin tidak kelihatan seperti mempunyai masalah pernafasan. Namun, apabila jerebu melanda, perubahan kecil pada corak pernafasan, selera makan, atau tahap tenaga boleh menjadi tanda awal bahawa paru-paru sudah mula terjejas.
Main image: Pendedahan kepada jerebu boleh mencetuskan keradangan dan meningkatkan penghasilan mukus, sekali gus menyebabkan gejala seperti batuk, mengah, dada rasa ketat, dan sesak nafas.
Menurut Dr Syed Ajmal Bin Syed Ali, Pakar Perubatan Dalaman, Respiratori & Pulmunologi Intervensi dan Dr Noor Zehan Abdul Rahim, Pakar Perubatan Kanak-kanak & Respiratori Kanak-kanak di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), golongan rentan memerlukan lebih perhatian apabila kualiti udara merosot[i].

“Ramai yang menganggap masalah pernafasan akibat jerebu adalah jelas dan ketara, tetapi tanda amaran terawal sebenarnya agak halus, terutamanya bagi golongan dewasa rentan atau warga emas,” kata Dr Syed. Dr Noor Zehan menambah, “Bagi kanak-kanak, sesak nafas, atau perubahan pada corak pernafasan dan penyusuan secara tiba-tiba mungkin antara tanda paling awal bahawa jerebu sedang menjejaskan paru-paru mereka.”
Risiko Jerebu Berbeza Mengikut Individu
Salah satu isu utama semasa jerebu ialah PM2.5, iaitu zarah halus yang cukup kecil untuk menembus jauh ke dalam saluran pernafasan[ii]. Dr Syed menjelaskan bahawa apabila zarah-zarah ini sampai ke saluran dan kantung udara yang lebih kecil, ia boleh mencetuskan keradangan serta meningkatkan penghasilan mukus, sekali gus menyebabkan gejala seperti batuk, mengah, dada rasa ketat, dan sesak nafas.
Sesetengah kumpulan menghadapi risiko yang lebih tinggi, seperti:
- Warga emas: Faktor penuaan mengurangkan kapasiti paru-paru[iii] serta keupayaan tubuh untuk membersihkan zarah yang terhirup[iv].
- Kanak-kanak: Saluran udara yang lebih kecil dan paru-paru yang masih berkembang membuatkan mereka lebih mudah mengalami kesukaran bernafas.
- Pesakit asma dan COPD: Walaupun penyakit berada dalam keadaan terkawal, pendedahan kepada udara tercemar masih boleh mencetuskan serangan (flare-up).
Kedua-dua Dr Syed dan Dr Noor Zehan turut mengingatkan bahawa pesakit asma atau COPD tidak sepatutnya menganggap mereka selamat hanya kerana gejala mereka terkawal. Dr Syed menasihatkan pesakit agar terus mengambil ubat yang dipreskripsikan dan sentiasa membawa inhaler pelega bersama mereka. Bagi ibu bapa pula, Dr Noor Zehan menyarankan agar mereka memahami dan sentiasa bersedia dengan pelan tindakan asma anak mereka.
Waspadai Perubahan Halus
Menurut Dr Syed, tanda amaran paling penting adalah sebarang perubahan daripada rutin harian individu. Bagi warga emas, beri perhatian kepada perubahan semasa melakukan aktiviti harian untuk mengenalpasti jika pernafasan mereka terjejas akibat jerebu. Ini termasuklah peningkatan batuk atau kahak, mengah, dada terasa ketat, atau lebih mudah sesak nafas semasa menjalankan aktiviti rutin.
Bagi bayi dan kanak-kanak kecil, petanda yang ditunjukkan mungkin kurang jelas dan kadangkala hanya kelihatan menerusi perubahan tingkah laku atau rutin mereka. Dr Noor Zehan menjelaskan bahawa batuk dan hidung tersumbat boleh melarat menjadi kesukaran untuk bernafas atau menyusu. Bayi yang meragam tanpa sebab atau kurang menyusu disebabkan hidung tersumbat mungkin sudah menunjukkan tanda-tanda awal kesukaran bernafas.
“Jangan tunggu sehingga kanak-kanak jelas kelihatan sukar bernafas barulah mahu mendapatkan bantuan,” kata Dr Noor Zehan. “Tanda-tanda awal seperti kurang menyusu, meragam tanpa sebab, atau kesukaran bernafas yang semakin meningkat tidak boleh diabaikan.”
Apabila Penjagaan Di Rumah Tidak Lagi Cukup
Meskipun bacaan indeks kualiti udara membantu keluarga membuat keputusan untuk mengurangkan pendedahan di luar, kedua-dua pakar menekankan bahawa pemantauan perubahan gejala adalah sama pentingnya. Dr Syed menasihatkan agar segera mendapatkan rawatan perubatan jika masalah sesak nafas, batuk, atau mengah semakin teruk, atau jika ubat yang biasa diambil tidak lagi memberikan kelegaan. Dr Noor Zehan turut memberi nasihat yang sama kepada ibu bapa agar mendapatkan bantuan perubatan jika batuk atau selesema anak mula mengganggu pernafasan atau penyusuan mereka.
Kekal Di Dalam Rumah, Tetapi Kekal Aktif
Kedua-dua doktor menasihatkan agar kekal berada di dalam rumah seboleh mungkin dan mengelakkan aktiviti fizikal yang berat di luar. Kekalkan pergerakan di dalam rumah, kanak-kanak boleh bermain di dalam rumah, manakala warga emas boleh melakukan senaman ringan.

Apabila kualiti udara di luar merosot, tutup semua tingkap dan pintu. Penggunaan penapis udara yang mampu menapis zarah halus boleh membantu, manakala penapis pendingin udara dan pembersih udara perlu diselenggara secara berkala. Dr Noor Zehan turut memberi peringatan agar tidak menggunakan essential oil untuk menagani masalah jerebu. Ini kerana ia tidak menghilangkan pencemar udara, malah berisiko menambah bahan asing di dalam rumah. Jika perlu keluar, Dr Syed menasihatkan penggunaan pelitup muka N95 atau KN95 secara betul.
Melindungi kesihatan keluarga ketika jerebu melanda bukan sekadar duduk di dalam rumah. Ia merangkumi kesedaran gejala awal, mengehadkan pendedahan, dan peka bila perlu mendapatkan rawatan perubatan.
[i] https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC11036283/
[ii] https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC4740125/
[iii] https://www.lung.org/lung-health-diseases/how-lungs-work/lung-capacity-and-aging
[iv] https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC9435381/
Dr Syed Ajmal Bin Syed Ali,
Pakar Perubatan Dalaman, Respiratori & Pulmunologi Intervensi,
Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway.
Dr Noor Zehan Abdul Rahim,
Pakar Perubatan Kanak-kanak & Respiratori Kanak-kanak,
Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway.

